Teringat pesan mamaku semasa usia remaja ku dulu.....
"kalau ada lelaki suka kau, dan kau tidak suka lelaki tu...jangan kau meludah depannya, atau menunjukkan kau benci atau menyampah (sgt2) sama dia. nanti diorang apa2kan ko......."
Berhemah tolak cintanya......
RENCANA UTAMA kosmo online
Dendam lelaki kecewa
Lelaki sanggup bertindak ganas ke atas wanita yang menolak cinta mereka akibat kecelaruan mental ekstrem.
DISEPAK dan ditumbuk malah disimbah asid adalah antara padah yang diterima si gadis kerana menolak cinta si jejaka.
Dalam keadaan yang lebih ekstrem, adakalanya tindakan agresif lelaki kecewa itu membawa kepada jenayah berat seperti rogol dan bunuh.
Namun jumlah sebenar kes serangan dan penderaan fizikal akibat cinta tidak berbalas tidak dapat dipastikan dengan tepat kerana kebanyakan mangsa memilih untuk menderita dalam senyap.
Bagaimanapun, kes-kes seumpama ini dilihat semakin kerap berlaku seperti yang didedahkan media.
Terbaru, tindakan seorang wanita menolak cinta ‘peminat rahsia’ membawa padah apabila dia mendakwa ditumbuk bertubi-tubi sebelum diculik selama 11 jam oleh lelaki tersebut.
Culik kekasih
Kejadian itu mengejutkan Nor kerana ia dilakukan teman sepejabatnya sendiri.
“Belum sempat saya bertanyakan apa-apa, dia terus menumbuk muka saya menyebabkan saya terjatuh.
“Saya menangis dan bertanya mengapa dia bertindak demikian,” kata wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Nor, 21.
Katanya, dalam keadaan mukanya berlumuran darah suspek kemudian menarik dan menolaknya masuk ke dalam kereta sebelum memecut ke lokasi yang tidak diketahuinya.
“Ketika di dalam kereta baru saya tahu dia mengamuk kerana saya menolak cintanya,” dakwa Nor.
Selain itu, ada juga yang menggunakan laman web sosial untuk mengaibkan individu yang enggan membalas cinta mereka.
Shan, 29, terkejut apabila menyedari satu profil tidak senonoh mengenainya diwujudkan dalam laman web sosial, Friendster yang dipercayai dilakukan seorang rakan lelakinya.
Kejadian pada tahun 2008 itu mendedahkan latar belakang mangsa termasuk gambar-gambar peribadi, alamat, nombor telefon dan lebih malang turut diselitkan dengan ayat lucah yang menggambarkan mangsa seolah-olah wanita tidak bermoral.
Shan mendakwa sebelum kejadian, lelaki tersebut pernah mengugut mahu menyimbah asid ke mukanya dan pernah menjatuhkan air mukanya ketika menemui ibu bapanya di Negeri Sembilan.
“Akibatnya saya menerima banyak panggilan dan SMS daripada orang yang tidak dikenali,” ujar Shan.
Ganas
Menurut Pensyarah Psikologi Pendidikan, Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya. Dr. Samsilah Ruslan, insiden yang melibatkan keganasan akibat cinta ditolak berkait rapat dengan personaliti atau kecelaruan mental ekstrem.
“Tidak mustahil individu tersebut mempunyai personaliti ganas sejak kecil.
“Suspek mungkin tertekan akibat pengaruh dadah atau menerima kesan akibat sejarah kehidupan dan pendedahan kepada cara hidup. Gemar menonton filem aksi ganas juga turut menyumbang.
“Elakkan daripada melihat aksi-aksi ganas yang keterlaluan supaya tidak terpengaruh.
“Jika terlalu terdedah kepada genre sedemikian, input yang ada di dalam otak akan tersimpan dan boleh menyebabkan fikiran dipengaruhi sehingga melakukan keganasan,” jelas Samsilah.
Kata Samsilah, kemahiran mengawal emosi yang betul penting bagi mengelakkan perkara negatif berlaku.
Bersemuka
Antara langkah yang dapat dilakukan untuk mengelakkan keganasan ialah berbincang secara baik dan matang iaitu dengan bersemuka.
“Sekiranya kemahiran mengawal emosi tidak diurus dengan baik, ia boleh diterjemahkan sebagai tingkah laku yang tidak boleh diterima oleh norma masyarakat.
“Kalau boleh, selesaikan secara berdepan kerana medium Internet dan telefon mudah alih hanya akan menimbulkan perselisihan faham antara kedua belah pihak.
“Ia boleh menyebabkan perasaan tidak puas hati dan peluang untuk berkomunikasi juga menjadi sangat terhad,” katanya kepada Jurnal.
Selain itu, cara terbaik untuk menghadapi situasi cinta ditolak ialah dengan mengamalkan fikiran positif dan menganggap ia sebagai pembuka jalan kepada sesuatu yang lebih baik.
“(Apa) yang penting kita kena percaya kepada ketentuan Tuhan. Tidak semestinya dunia sudah berakhir kalau cinta ditolak.
“Jalan terbaik ialah cuba berjumpa kaunselor dan dapatkan input yang membina.
“Ketika dalam keadaan tertekan, kembalilah kepada cara yang telah disyorkan iaitu bertenang dan berbincang secara baik.
“Jika perlu, dapatkan orang tengah yang dapat mengawal situasi dan bukannya (penasihat) yang mengapi-apikan lagi keadaan,” nasihat beliau.
Maruah
Sementara itu, Presiden Persatuan Kaunseling Malaysia, Prof. Dr. Suradi Salim berkata, senario cinta ganas sering berlaku akibat suspek tercabar apabila tidak dapat berfikir secara rasional.
“Setiap orang berbeza dari segi kaedah mereka mengendalikan kemarahan.
“Apabila mereka kecewa kerana cinta tak diterima, maruah mereka akan tercabar lalu mereka melakukan kekerasan.
“Tapi ada juga orang yang lebih rasional ketika berhadapan dengan situasi seperti itu.
“Dahulu kebanyakan masyarakat Timur akan menangani kemarahan dalam bentuk fizikal.
“Pendekatan budaya dan tamadun di dalam sesebuah masyarakat juga tidak sama.
“Sebelum wujudnya masyarakat bertamadun, ada yang sanggup membunuh untuk memusnahkan pasangan sekiranya cinta mereka ditolak.
“Pendidikan juga penting kerana semakin berilmu seseorang itu maka semakin bijaklah dia menanganinya.
“Disiplin turut memupuk seseorang itu menerima penolakan secara positif tanpa melakukan sebarang kekerasan,” ungkap Suradi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan